Tuesday, May 4, 2010

KETIKA CINTA BERTASBIH - (6) Lagu Lagu Cinta

Ada ke insan yg mengikuti lg blog aku nie???? Apa2 pun... kepada yang tersesat ke cnie tu.. blh le gak cuci mate ke.. cuci ati ke... dgn kisah selanjutnya ini...

JAM menunjukkan pukul dua setengah. Punama bulat sempurna. Bintang bintang bertaburan menghiasi angkasa. Malam itu di Kota Cairo terasa sejahtera. Angin musim sejuk mengalir semilir. Perlahan. Berhembus dari utara ke selatan. Menerobos sela sela pintu dan tingkap apartment. Menebarkan kesejukan kesejukan.

Dua ekor kucing bercengkerama. Sesekali mengiauw. Sesekali menjerit jerit, melengking lengking membahana. Keduanya berkejar kejaran dengan suara yang seolah olah bergaduh bagi yang mendengarnya. Di taman sebuah apartment di kawasan Mutsallats, dua ekor kucing itu menikmati indahnya musim sejuk. Diiringi tasbih daun daun yang dibelai angin musim bunga, mereka saling merayu. Mereka mendendangkan lagu lagu cinta. Ya. Lagu cinta yang sangat indah, yang hanya boleh difahami oleh mereka berdua.

Tidak begitu jauh dari situ, sebuah kedai kopi nampak masih ramai. Belasan orang terjaga menikmati musim sejuk dengan minum kopi, menghisap shisha, main kad dan berbincang tentang apa saja. Ada yang sedang menikmati filem India. Ada juga yang sedang berbincang dengan serius. Temanya meloncat loncat, ke mana mana. Musim bunga memang indah. Paginya indah. Siangnya indah. Petang indah. Malamnya pun indah. Lebih lebih lagi mereka yang menikmatinya dengan penghayatan ibadah.

Namun demikian, ada juga orang orang yang sama sekali tidak peduli dengan datangnya musim bunga. Ada juga bahkan yang tidak pernah merasakan datangnya musim bunga. Mereka bahkan hampir tidak pernah merasakan adanya pergantian musim. Semua itu, lantaran kerasnya kehidupan yang harus mereka hadapi dan lalui. Lantaran mereka harus terus memerah otak, dan menghadapi hidup dengan memerah keringat dan bekerja tiada henti.

Di antara orang orang yang hampir tidak pernah peduli datangnya musim bunga itu adalah 'Mas Insinyur' Khairul Azzam, dan beberapa orang mahasiswa yang bekerja dengannya.

Malam itu, di biliknya yang berada di sebuah apartment, berhadapan dengan taman itu, di mana ada dua ekor kucing yang sedang mendendangkan lagu lagu cinta, ia masih juga belum istirehat dari pekerjaannya. Sementara teman temanya satu rumah sudah lama larut bermesraan dengan mimpi indahnya masing masing.

Azzam masih sibuk mengurus kacang soyanya yang telah ia letakkan ragi. Dengan penuh kesabaran ia harus membungkusnya agar menjadi tempe. Sejak lamaranya pada Anna Althafunnisa telah didahului oleh sahabatnya sendiri, Azzam memutuskan untuk menumpukan sepenuh perhatiannya dalam bekerja. Sejak ustadz Mujab menyarankan agar ia mengukur dirinya, ia memutuskan untuk terus membaktikan diri pada ibu dan adik adiknya di Indonesia. Ia niatkan itu semua sebagai ibadah dan rahmah yang tiada duanya. Ia juga meniatkannya sebagai cubaan dan pelajaran hidup yang harus ia tempuh di universiti besar kehidupan. Ia yakin, semua itu tidak akan sia sia. Bukankah Allah tidak pernah menciptakan segala sesuatu dengan sia sia.

Ia tidak lagi memiliki mimpi yang melangit tentang calon isteri. Ia sudah dapat mengukur diri. Ia yakin jodohnya telah ada, telah disiapkan oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala. Maka ia tidak perlu risau. Jodoh adalah sebahagian dari rezeki. Rezeki seseorang sudah ada bahagiannya. Dan bahagian rezeki seseorang tidak akan diambil oleh orang lain. Begitulah yang terlukis dalam fikirannya. Maka ia merasa tenang dan tenteram. Tetapi cubaan hidup, ilmu hidup harus diusahakan. Allah tidak akan menambah ilmu seseorang kecuali seseorang itu berusaha menambah ilmunya. Ia merasa bekerja keras adalah sebahagian dari upaya menambah ilmu dan bahagian dari usaha untuk merubah nasib.

Sejak peristiwa itu, ia merasa harus lebih serius menghadapi hidup. Ia mulai mengatur diri untuk berusaha tidak hanya berjaya dalam bidang bisnes, tapi juga berjaya dalam bidang akademik. Ia mulai mengatur diriuntuk menyelesaikan B.A.nya tahun itu juga. Setelah itu ia tetap akan belajar dan belajar tiada hentinya.

Wajahnya nampak begitu letih. Kedua matanya telah merah. Namun sepertinya ia tidak mahu menyerah kalah. Dalam keadaan sangat letih, ia harus tetap bekerja. Ia tidak mahu kalah oleh keadaan. Ia tidka mahu semangatnya luntur begitu saja, oleh rasa mengantuk yang terus menderanya. Bila sudah begitu, ia selalu ingat perkataan Al-Barudi yang selalu mengobarkan jiwanya :

Orang yang memiliki semangat; ia akan mencintai semua yang dihadapinya.

Ia melihat jam yang tergantung di dinding biliknya. Ia menghela nafas dalam dalam. Sudah masuk penghujung malam, dua jam lagi pagi datang. Ia harus menyelesaikan pekerjaannya dengan segera. Ia perlu mempunyai waktu untuk istirehat, meskipun cuma satu jam memejam mata.

Ia lalu berdiri dan menggerak gerakkan tubuhnya untuk menghilangkan rasa sengal sengal dan penat yang begitu terasa. Dua minit ia melakukan gerakan senaman ringan. Lalu kembali mencangkung. Dan kembali membungkus kacang soyanya, calon tempe dengan penuh ketelitian dan kesabaran.

Tepat pukul tiga kurang lima minit, ia berdiri dan bernafas lega. Pekerjaannya telah diselesaikannya. Masih ada sedikit waktu untuk istirehat sebelum Subuh tiba. Alat alat kerjanya ia kemaskan. Ia letakkan pada tempatnya. segera ia membersihkan tangannya dan mengambil air wudhu'.

Sebelum merebahkan badannya di atas tempat tidur, terlebih dahulu ia sempurnakan dirinya untuk solat Tahajjud dua rakaat lalu solat Witir. Ia membaca tasbih sambil mengatur jam locengnya. Lalu perlahan tidur.

Baru saja matanya terpejam, ia mendengar namanya dipanggil panggil, perlahan. Pintu biliknya juga diketuk, perlahan.

"Kang Azzam.... Kang Azzam!"

Dengan perasaan sangat berat, kepala sedikit pening, ia bangkit.

"Siapa?" tanyanya.

"Hafez, Kang."

Azzam turun dari tempat tidurnya dan beranjak membuka pintu biliknya. Di depan pintu biliknya berdiri seorang pemuda berkaca mata.

"Ada ape Fez?" tanya Azzam.

"Maaf Kang, saya tidak kuat lagi. Saya tidak boleh tidur Kang. Saya tidak tahu nak buat bagaimana? Saya perlu orang yang boleh saya ajak bicara. Saya mahu minta pertimbangan Kang Azzam. saya ridak kuat lagi Kang", jelas Hafez dengan suara serak.

"Masih tentang perasaanmu pada Cut Mala?"

"Iya Kang."

"Aku tahu kau pasti berat menaggung perasaan itu Fez. Tapi afwan, aku belum tidur. Aku harus istirehat. Jika tidak aku akan mengantuk. Nanti saja kita bicarakan setelah solat Subuh ya. Kau baca Al-Qur'an saja sana untuk menenangkan jiwa sambil menunggu Subuh. Nanti kalau sudah Subuh, aku dan teman teman dikejutkan. Begitu ya?"

"Sekarang, boleh tak Kang?"

"Aku tidak kuat Fez. Aku baru saja selesai membungkus tempe. Aku sangat letih. Aku perlu istirehat sebentar."

"Baiklah Kang. Setelah solat Subuh."

Pemuda berkaca mata itu beranjak ke biliknya. Azzam menutup biliknya. Tanpa dikunci. Ia merebahkan badannya. Ia tahu Hafez menfhadapi masalah berat. Tapi ia perlu istirehat. Dan membicarakannya setelah Subuh ia rasa tidak terlambat. Subuh sudah sangat dekat. Ia kembali berdoa, memejamkan mata dan tidur. Lelap.

Sementara Hafez keluar dari biliknyadengan membawa mushhaf. Ia mengikutu saranan Azzam. Di ruang tamu ia membaca Al-Qur'an dengan suara perlahan. Ia sama sekali tidak boleh menumpukan dalam menghayati dan mentadabburi apa yang dibacanya. Fikirannya tetap saja tertuju pada Cut Mala. Ia sendiri tidak tahu kenapa dalam sebulan ini hati dan fikirannya tidak boleh lepas dari Cut Mala. Mahasiswi Al-Azhar dari Aceh yang tidak lain adalah adik kandung teman yang paling rapat dengannya, iaitu Fadhil. Ia tidak menyedari bahawa perasaan cintanya pada gadis Aceh itu tumbuh dengan bagitu lembut dan perlahan. Dan sekarang perasaan itu sudah sedemikian membuak . Berbunga bunga, bahkan hampir tidak dapat dikuasainya.

Sedemikian membuaknya perasaan itu, hingga ia tidak dapat berbuat apa apa. Padahal waktu itu, ia harus menumpukan sepenuhnya pada ujian Al- Azhar yang tinggal sebulan lagi. Yang ada dalam fikiran dan hatinya selalu saja Cut Mala. Wajah Cut Mala. Suara Cut Mala. Langkak kaki Cut Mala. Budi bahasa Cut Mala. Gaya bahasa Cut Mala. Tingkah laku dan perangainya yang halus, sopan, dan sangat menjaga diri. Prestasi prestasinya yang selalu terukir dengan gemilang. Bahkan pendapat pendapatnya yang terpampar dalam pelbagai buletin kemahasiswaan di Cairo.

Itu semua telah membuat hati Hafez begitu kagum padanya. Ah, bukan hanya kagum, tapi ada sesuatu yang aneh mendera mendera hatinya, entah apa namanya. Ia merasa, di dunia ini tidak ada gadis yang ia anggap sempurna untuk menjadi pendamping hidupnya, menjadi ibu untuk anak anaknya, selain gadis dari Tanah Rencong itu.

Setiap kali ia mendengar nama itu disebut, hatinya selalu bergetar. Berdesir desir. Disebut oleh siapa saja. Termasuk ketika ia mendengar nama itu disebut oleh Fadhil, abang kandung Cut Mala sendiri.

Dan setiap kali ia membaca nama gadis kelahiran Ulee Kareng Banda Aceh itu tertulis di buletin, buletin apa saja, rasa cintanya bertambah tambah. Ia merasa sudah hampir gila. Ia sedar perasaan seperti tu tidak boleh menguasai dirinya. Tapi entah menapa ia merasa sangat tidak berdaya. Ia membaca Al-Qur'an dengan perlahan dan ia kembali tidak berdaya. Cut Mala singgah bermain main lagi di kelopak matanya.

Sudah sekuat tenaga ia mengusir kelibat bayangan Cut Mala, tapi tidak berdaya. Semakin ia cuba mengusirnya, justeru semakin jelas bayangan Cut Mala bersemayam di benaknya. Ia benar benar tidak berdaya.

Dalam ketidakberdayaan, kehadiran bayangan Cut Mala, malah ia rasakan sebagai sebuah kegilaan dan kenikmatan, kenikmatan dan kegilaan. Bagaimana tidak, saat ia berusaha mentadabburi apa yang ia baca,saat itu justeru muncul bayangan yang bukan bukan di benaknya.

"Seandainya ia telah bernikah dengan Cut Mala, lalu di penghujung malam seperti itu ia membaca Al-Qur'an bersama Cut Mala. Bergantian. Terkadang ia yang membaca, Cut Mala yang mendengarkan. Atau Cut Mala yang membaca, ia yang menyemak dengan teliti. Alangkah indahnya. Alangkah indahnya."

Ia memejamkan mata. Setitis air matanya jatuh di mushhaf yang ia baca.

Ia tersedu sedu. Menangis dengan perasaan cinta, sedih, rindu dan merasa berdosa bercampur jadi satu.

"Ya Allah, ampuni dosa hambaMu ini. Ya Allah, jika yang kurasakan ini adalah sebuah dosa, maka ampunilah dosa hambaMu yang lemah ini."

Dalam doa dan istighfarnya, ia sangat berharap bahawa Allah Subhanahu wa Ta'ala mengasihi orang orang yang sedang jatuh cinta seperti dirinya.


******

Di ufuk Timur, langit menyemburatkan warna merah. Fajar perlahan menyingsing. Sebuah menara pun mengumandangkan azan. Disusuli menara kedua.

Beberapa detik kemudian azan berkumandang dari beribu menara yang menjulang di Kota Cairo. Azan dari menara Masjid Ar-Rahmah membangunkan Cut mala yang tinggal di kawasan Masakin Utsman. Tepatnya Masakin utsman 72/605, tidak jauh dari Masjid Ar-Tahmah, yakni masjid di mana orang orang Indonesia sebut sebagai "Masjid Planet".

Disebut "Masjid Planet" kerana bentuknya yang tidak seperti masjid pada umumnya, tapi menyerupai bangunan dari planet lain. Ada juga yang menyebut "Masjid UFO", kerana reka bentuknya agak serupa dengan UFO.

Gadis Aceh itu membangunkan teman temannya. Ketika ia masuk bilik Tiara, ia mendapati kakak sekelasnya itu masih bersimpuh di atas sajadahnya dengan terisak isak. Ia tidak ingin mengganggunya.

Cut Mala atau lengkapnya Cut Malahayati, tinggal di dalam flat yang cukup luas itu dengan empat orang mahasiswi. Flat itu memiliki tiga bilik tidur berukuran cukup luas. satu dapur. Satu bilik mandi. Balkoni. Dan ruang tamu yang juga luas. Flat itu tergolong mewah. Semua lantainya dilapik dengan karpet. Di ruang tamu ada satu set sofa yang diimport dari Itali. Dapur semua seramik. Dan bilik mandi yang tidak kalah dengan hotel tiga bintang. Flat itu juga dilengkapi dendan telefon, pemanas air, peti ais, dapur gas dan air-cond di ruang tamu.

Cut mala dan teman temannya boleh dikatakan beruntung. Sebab, untuk flat yang semewah itu meraka hanya membayar tiga ratus pound sebulan. Untuk ke kuliah pun seringkali ia memilih jalan kaki. Sebab flatnya dengan kuliah banat tidaklah terlalu jauh sangat.

Pemilik flat itu bernama Madam Zubaida. Seorang pengusaha yang kaya. Ia memiliki perusahaan travel dan beberapa kedai kasut di Cairo dan Alexandaria. Madam Zubaida sangat pemurah dan baik hati. Ia memiliki tiga orang anak, Satu puteri, dua putera. Dua anaknya berada di luar negeri. Yang puteri bernama Yasmin, sedang kuliah di Perancis, dan telah bernikah dengan seorang staf kedutaan Mesir di Paris. Anaknya yang nombor dua kuliah di Istanbul. Hanya si bongsu yang menemaninya. Masih kuliah di Fakulti Kedoktoran di Cairo University. Setahu Cut Mala, Madam Zubaida memiliki tiga rimah di Cairo. Satu di kawasan Mohandisin yang ia tinggal bersama putera bongsunya. Yang kedua di kawasan Ma'adi dan yang ketiga di Masakin Ustman Nasr City yang disewakan kepada mahasiswi dari Indonesia.

Tujuan Madam Zubaida menyewakan flatnya di Masakin Utsman memang bukan semata mata untuk mendapatkan wang, tapi agar flatnya ada yang menjaga dan menguruskannya. Maka ia hanya percaya pada para mahasiswi. Khususnya mahasiswi indonesia. Kebetulan Madam Zubaida pernah memiliki seorang pembantu perempuan dari Indonesia. Madam Zubaida sangat terkesan dengan kehalusan budi dan ketelitian pembantunya itu dalam mengurus rumahnya. Maka sejak itu ia sangat percaya pada perempuan dari Indonesia. Perempuan Indonesia memang luar biasa di mata Madam Zubaida.

Setiap bulan Madam Zubaida datang meninjau keadaan flatnya pada hari yang tidak ia tentukan. Dan ia selalu puas hati, kerana para mahasiswi dari Indonesia yang menyewa flatnya benar benar menjaga dan mengurus flatnya dengan baik. Cut Mala dan teman temannya bahkan selalu menjaga seluruh ruangan flat itu dengan pengharum ruangan, agar selalu segar dan wangi udaranya.

Boleh dikatakan, seluruh penghuni rumah itu adalah mahasiswi yang bernaung dalam Keluarga Mahasiswi Aceh. Cut Mala dari Pidie dan Tiara dari Banda Aceh. Keduanya benar benar berasal dari Aceh. Maksudnya kedua orang tua mereka memang berasal dari Aceh. Selain mereka berdua ada Cut Rika dan Masyithah. Keduanya bukan berdarah Aceh jati, namun tidak ada bezanya dengan yang berdarah Aceh. Cut Rika, lahir di Peukan Bada, Aceh Besar, tapi ia membesar dan menghabiskan masa remajanya di rumah neneknya di Bandung. Ayahnya berasal dari Peukan Bada, ibunya berasal dari Bandung. Dan terakhir adalah Masyithah, gadis paling cantik di rumah itu. Bahkan, mungkin mahasiswi Indonesia paling cantik di Cairo. Hanya saja tidak ramai yang tahu bagaimana kecantikannya yang sebenar. Sebab, dalam seharian ia selalu memakai purdah.

Masyithah lahir di Aceh, ayahnya berasal dari Syria, ibunya pula berasal dari Pakistan. Jadi sama sekali tidak ada darah Aceh yang mengalir dalam dirinya. Tapi sejak pertama kali melihat dunia ia telah jadi orang Aceh.

Masyithah lahir di Bandar Aceh ketika ayahnya mendapat tugas dari Rabithah 'Alam Islami untuk mengajar di IAIN Ar-Raniry. Ketika melahirkannya, ibunya meninggal dunia. Ayahnya tetap teguh untuk menyelesaikan tugasnya berdakwah dan mengajar di Aceh.

Ia dijaga oleh seorang gadis doktor yang membantu kelahirannya. Entah bagaimana awalnya, akhirnya doktor berasal dari Aceh yang menjaganya itu berjaya disunting ayahnya. Dialah ibunya, yang ia kenal sekarang. Meskipun sebenarnya ia seorang ibu tiri, tapi ia tidak pernah merasa menjadi anak tiri. Sejak itu ayahnya pindah kewarganegaraan menjadi orang Indonesia. Sekarang ayahnya bekerja di Kedutaan Besar Syria di Jakarta, Sementara ibunya bekerja di RSCM Jakarta. Masyithah sudah boleh berbahasa Arab sejak kecil. Maka wajar jika ia paling fasih berbahasa Arab di rumah itu. Selain bahasa Arab, ia juga fasih berbahasa Indonesia dan Aceh.

Cut Mala dan teman temannya mengerjakan solat Subuh berjamaah. Mereka membentangkan sajadah di ruang tamu. Yang menjadi imam pagi itu Cut Rika. Mahasiswi tahun tiga jurusan tafsir itu membaca surah An-Nisa'. Bacaannya tartil dan fasih. Suaranya indah. Semuanya larut dalam penghayatan kalam illahi. Selesai solat mereka berzikir, mengingati Allah Subhanahu wa Ta'ala lalu membaca Al-Ma'tsurat. Setelah itu mereka kembali ke biliknya masing masing untuk tilawah.

Cut Mala mengikuti Masyithah masuk ke bilik. Mereka berdua memang tinggal dalam bilik yang sama. Keduanya lalu larut dalam tadarrus Al-Qur'an. Cut Mala terus membaca. Sementara Masyithah menyudahi bacaannya. Ia menyalakan komputernya. Tiara mendekati Cut Mala. Cut Mala menyudahi bacaannya.

"Mahu tak kalau aku ajak jalan jalan Dik Mala?" Lirih Tiara.

"Mahu Kak."

"Jom kita keluar. Kita ke Hadiqah Dauliyah. Sekalian menghirup udara pagi. Aku ingin bicara sedikit dengan mu."

"Jom."

Cut Mala membuka telekungnya. Memakai jubah hijau tuanya dan memakai tudung hijau mudanya. Setelah yakin dengan penampilannya, ia melangkah keluar bilik mengikuti Tiara. Masyithah yang mengetahui ke mana mereka akan pergi lalu berteriak:

"Jangan lupa nanti singgah beli roti."

"Insya'Allah", jawab Cut Mala.

******

Selesai solat Subuh, Azzam tetap di masjid, demikian juga Hafez. Azzam membaca dua halaman mushhafnya lalu mendekati Hafez yang duduk terpaku tidak jauh darinya. Beberapa orang Mesir duduk melingkar untuk membaca Al-Qur'an bergantian. Biasanya Azzam turut ikut sama, tapi kali ini ia sudah berjanji pada Hafez.

"Sebaiknya kita berbincang bincang di luar sana sambil berjalan jalan dan menghirup udara pagi", kata Azzam pada Hafez.

Hafez mengangguk. Keduanya keluar meninggalkan masjid dan berjalan melalui tepian jalan ke arah Mahattah Gami.

"Kau kata, kau akan menumpukan pada pembelajaran mu Fez. Apakah kau sudah lupa?" Kata Azzam seraya menghentikan langkahnya. Hafez juga menghentikan langkahnya.

"Sebenarnya memang begitulah, Kang. Tapi entah kenapa aku sama sekali tidak dapat melupakan dia. Aku tidak mampu berhenti memikirkannya. Aku bingung apa yang harus aku lakukan. Saat solat, aku membayangkan jika solat bersamanya. Saat membaca Al-Quran aku membayangkan jika aku membaca Al-Qur'an bergantian dengannya. Saat berdoa pun, aku juga mengingati dirinya. Apa yang harus aku buat Kang?"

"Ini penyakit, kau harus segera sedar tentang itu Fez."

"Aku sedar Kang, sangat sedar. Aku tidak boleh membayangkan wajahnya. Itu tidak boleh. Itu haram. Tapi bayangan wajahnya datang begitu saja Kang. Aku boleh jadi gila Kang. Aku rasa satu satunya jalan aku harus berterus terang pada Fadhil, bahawa aku mencintai adiknya dan aku terus akan melamarnya dan menikahinya secepatnya."

Azzam tersenyum.

"Itu fikiran yang bagus. Bernikah. Tapi masalahnya apakah kamu yakin adik si Fadhil. Siapa itu namanya Cut Nala?"

"Bukan Nala Kang, Mala."

"Oh ya, Cut Mala. Apa kamu yakin dia bersedia untuk bernikah. Dia baru tahun dua. Sedang asyik asyiknya merasakan dinamik hidupnya sebagai seorang mahasiswi. Bahkan seorang aktivis. Tentu kalau dia bersedia untuk bernikah, apakah kamu yakin dia mahu bernikah dengan mu?"

"Lalu apa yang harus aku lakukan Kang?"

"Kau harus melupakannya. Jika dia jodoh mu percayalah, dia tidak akan ke mana mana. Dia tidak akan diambil siapapun juga."

"Tapi rasanya sangat susah Kang."

"Aku tahu. Selama kau masih satu rumah dengan Fadhil, kau takkan boleh melupakannya. Aku tahu setidak tidaknya setiap dua hari sekali Fadhil mendapat telefon dari adiknya, dan sebaliknya Fadhil juga sering menelefon adiknya. Terkadang tanpa sedar Fadhil menyebut nama adiknya itu di depanmu, di depan kita semua. Bagi orang lain yang tidak memiliki perasaan apa apa, mendengar namanya mungkin tidak ada masalah. Tapi bagi kamu, itu sama saja air hujan menyirami tanaman yang mengharap air. Belum lagi kalau adiknya itu datang menghantar sesuatu, yang terkadang menghantar makanan untuk abangnya. Ya untuk abangnya, tapi kita ikut menjamu masakannya. Bagi yang lain mungkin tidak ada masalah, tapi bagi mu memakan masakannya akan mengobarkan api asmara yang mungkin susah payah kau padamkan. Jika kau nekad berterusterang pada Fadhil saat ini, percayalah kau boleh merosakkan segalanya. Kau boleh merosakkan dirimu sendiri. Merosakkan hubunganmu dengan Fadhil. Bahkan juga boleh merosakkan Cut Mala."

"Kenapa boleh sejauh itu kesannya Kang?"

"Keinginan bernikah itu baik. Keinginan melamar seseorang juga tidak salah. Namun jika waktunya tidak tepat, yang diperolehi akan terjadi hal yang tidak diinginkan. Kau tentu tahu saat ini sudah sangat hampir dengan ujian. Waktunya orang menumpukan perhatian pada ujian. Kalau kau membuka perasaan dan keinginanmu saat ini, pasti boleh menghilangkan tumpuan Fadhil, juga adiknya Cut Mala. Walaupun jika Cut Mala sedia menerimamu. Keutamannya pada pelajaran akan terganggu dan beralaih memikirkan lamaranmu. Apa lagi ia sebenarnya tidak bersedia untuk bernikah. Fadhil juga akan sangat memikirkan hal itu. Sebab, kau adalah temannya, dan Cut Mala adalah adiknya. Jika Cut Mala menolak lamaranmu, Fadhil pasti akan sangat tidak enak padamu. Belum lagi hal hal lain di luar jangkauan kita. Saya pernah mendapat cerita dari seorang bapak di KBRI, ada seorang mahasiswi gagal ujiannya gara gara dilamar oleh seseorang melalui telefon dan mahasiswi itu tidak sedia menerima lamaran itu. Tumpuannya hilang dan ujiannya gagal. Apakah kau tidak kasihan kalau itu terjadi pada Cut Mala."

"Kalau macam tu, apa yang harus saya lakukan?"

"Kau harus berusaha mengatasi masalah dirimu. Kau harus dapat mengatasi perasaanmu. jangan kau korbankan orang lain. Sebaiknya untuk sementara, kau berpindahlah jauh sedikit supaya dapat mengutamakan pelajaran. Nanti setelah ujian selesai, aku akan membantumu membicarakan hal ini dengan Fadhil. Ini lebih baik bagimu dan bagi semuanya. Percayalah, siapa jodohmu sudah tertulis di Lauhul Mahfudz. Kau jangan risau. Jika memang yang tertulis untukmu adalah Cut Mala, insya'Allah tidak akan ke mana mana."

"Baiklah Kang. Aku ikut sarananmu. Tapi janji ya Kang, setelah ujian selesai nanti, Kang akan bantu berbicara dengan Fadhil."

"Ya, aku janji."

******

Cut Mala dan Tiara keluar flat dan turun menggunakan lift. Lalu mereka berjalan ke selatan menuju Hadiqah Dauliyah. Sebuah taman kota di Nasr City yang sangat dibanggakan oleh orang Mesir. Taman yang terdiri hanya di atas beberapa hektar itu, mereka sebut Hadiqah Dauliyah, ertinya International Garden, Taman Internasional.

Mahasiswa Indonesia sering mentertawakan orang Mesir begini: "Kita orang Indonesia yang memiliki taman yang sangat luas, replika dari suku bangsa Indonesia, untuk mengelilinginya tidak cukup dengan hanya berjalan kaki. Kita masih menamakan Taman Mini. Kita menyebutnya, Taman Mini Indonesia Indah. Sedangkan ini taman yang cuma beberapa hektar saja sudah disebut Taman International." Terkadang orang mesir menjawab dengan santai : "Itulah bezanya orang Indonesia dengan orang Mesir. Orang Indonesia terlalu rendah diri, terlalu merendah diri dengan kemampuannya, dan tidak boleh memotivasi diri. Sedangkan orang Mesir salalu yakin pda diri. Selalu boleh memotivasi diri! Kita dapat menginternasionalkan yang kecil." Maka biasanya orang Indonesia akan diam sambil terus menggerutu di dalam hati: "Dasar orang Mesir anak Fir'aun, sombong sekali."

Cut Mala dan Tiara sudah sampai di gerbang Hadiqah. gerbang baru saja dibuka. Beberapa orang Mesir masuk. Mereka berpakaian sukan. Dua gadis Aceh itu masuk. Tiara mengajaknya duduk di sebuah bangku panjang. Langit nampak cerah. Burung burung berterbangan dari pohon ke pohon. Dari arah timur, di antara gedung gedung bertingkat muncul cahaya kemerahan yang perlahan menjadi kekuning kuningan. Matahari muncul seolah tersenyum pada bumi.

"Mahu bicara tentang apa tadi kak?" Tanya Cut Mala.

"Aku mahu minta tolong sedikit padamu Dik", jawab Tiara.

"Apa itu Kak?"

"Begini, aku sedang menghadapi masalah serius. Aku minta kamu tidak menceritakan hal ini kepada sesiapapun juga. Kelmarin aku mendapat telefon dari Aceh. Dari ayah. Beliau beritahu, aku dilamar oleh seorang Ustadz. Namanya ustadz Zulkifli. Dia adalah salah seorang ustadz di pesantren kakak dulu. Namun dia tidak pernah mengajar kakak. Kerana ketika dia masuk pesantren, kakak sudah berada di kelas dua aliyah. Dan dia mengajar di kelas satu. Jadi kakak tidak tahu bagaimana sebenarnya dia. Ayah cerita, katanya Ustadz Zulkifli pernah satu pesantren dengan bang Fadhil, abangmu. Aku minta tolong sampaikanlah keadaanku ini pada bang Fadhil. Apakah keputusan yang sebaiknya yang perlu aku ambil? Apakah aku harus terima lamarannya atau bagaimana? Dua hari lagi ayah mahu menelefon untuk meminta kepastianku. Ayah menyerahkan sepenuhnya padaku."

"Sebenarnya dari dalam hati nurani paling dalam Kak Tiara rasakan bagaimana? Menerima atau menolak?"

"Aku tidak tahu Dik."

"Reaksi hati pertama kali mendengar lamaran itu bagaimana Kak?"

"Biasa biasa saja. Kerana sebenarnya aku belum ingin bernikah. Aku ingin bernikah setelah selesai kuliah. Tapi ayah memberitahuku jika aku mahu, ustadz Zulkifli akan menyusul ke Mesir. Aku belum boleh mengambil keputusan. Tolong ya sampaikan hal ini pada Abang Fadhil. Aku ingin tahu pendapat dia sebagai pertimbangan. Dia mungkin kenal baik dengan Ustadz Zulkifli, dan dia juga tahu tentang diriku."

"Baiklah Kak, amanah kakak segera saya tunaikan, insya'Allah."

Hati Tiara merasa lega mendengar jawapan Cut Mala. Sebenarnya ia ingin mengatakan pada Cut Mala, bahawa ia mencintai Fadhil, abangnya, tapi dia tidak sampai hati untuk menyampaikannya. Rasa malulah yang menghalanginya. Selama ini ia hanya boleh meraba tanpa boleh memastikan apakah Fadhil memiliki perasaan yang sama ataukah tidak. Ia ingin mendengar pandangan Fadhil tentang masalahnya untuk sedikit mencari petunjuk dan isyarat bagaimana sebenarnya sikap Fadhil terhadapnya.

Ia ingin mencari petunjuk bahawa Fadhil juga mencintainya. Jika ya, ia akan lebih memilih hidup bersama orang yang dicintainya. Ia sangat yakin Fadhil orang yang baik dan soleh, demikian juga Ustadz Zulkifli. Jika demikian, apabila disuruh memilih yang sama baiknya, tentu ia akan memilih yang telah diterima oleh hatinya. Namun, ia merasa jodoh terkadang tidak dapat dipilih. Jodoh dalam keyakinannya adalah dipilihkan. Ya, dipilihkan oleh Allah. Manusia hanya berusaha, berikhtiar. Dan apa yang ia lakukan pada pagi buta di musim bunga itu, ia yakin sebagai salah satu dari ikhtiarnya.

Ia tidak boleh menafikan bahawa ia mencintai Fadhil dengan diam diam. Namun ia tidak yakin cinta seperti yang ia rasakan akan kekal. Baginya, cinta yang kekal adalah untuk orang yang secara sah menjadi suaminya. Dan ia tidak dapat nafikan, ia ingin orang itu adalah Fadhil. Sekali lagi jika boleh memilih.

Tiara bangkit diikuti Cut Mala. Keduanya berjalan mengelilingi taman. Orang orang Mesir semakin ramai yang datang. Ada yang berlari lari kecil. Ada yang hanya berjalan jalan.

"Bererti Ustadz Zulkifli itu pernah belajar di Pesantren Ar-Risalah Medan Kak?" tanya Cut Mala. Ia bertanya begitu kerana Fadhil, abangnya menyelesaikan pendidikan menengahnya di pesantren itu.

"Iya. Setahu saya, dia waktu MT's dan Aliyahnya di Pesantren Ar-Risalah, lalu kuliah di LIPIA Jakarta Program I'dadul Lughah, setelah itu ia mengajar di pesantren kakak." Jelas Tiara panjang lebar.

"Dia tampan ke Kak?"

"Aku tak ingat wajahnya Dik. Kenapa kau tanya begitu?"

"Memang tidak boleh tanya, Kak?!"

"Ya, boleh saja. Tapi kenapa kau tanya begitu?"

"Kalau dia tampan, ya terima saja Kak."

"Kalau tidak tampan?"

"Ya, terserah kakak. Kan kakak yang mengambil keputusan, dan kakak pula yang akan menjalaninya bukan Mala hi hi hi...." Cut Mala ketawa mengusik. Dua lesing di pipinya menambahkan pesona wajahnya.

Tiara geram dibuatnya.

******

Bahasa Arab Corner :

1. Afwan - maaf
2. Al-Ma'tsurat - kumpulan zikir dan doa dari Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam yang dibaca pada pagi dan petang hari


0 comments:

Post a Comment