Friday, February 19, 2010

KETIKA CINTA BERTASBIH - (2) Tekad Berajut Doa

Amacam ??? Selepas korang menikmati bab pertama. Aku rase, tentu ada yang tak sabar sabar nak menyelusuri bab seterusnya... Cakap banyak tak mo... teruskan saja dong pembacaannya ...

MAJLIS
makan malam itu berlangsung di sebuah taman yang terletak di garis Pantai El Muntazah. Sebuah pantai yang terkenal dengan keindahannya di Alexandaria. Azzam sama sekali tidak boleh menikmati majlis itu, sebab ia sibuk menyiapkan ikan bakar khusus buat permintaan Bapak Duta Besar, ayah Eliana. Azzam yang ingin istirehat di malam terakhir merasa tidak boleh istirehat. Ia yang sedikit ingin merasakan suasana romantik di El Muntazah yang sangat terkenal itu sama sekali tidak boleh merasakannya.


Azzam membakar semua ikan yang dibeli oleh Pak Ali. Ia meracik bahan perencah sehalus mungkin. Ia minta Pak Ali membantunya mengipasi arang agar terjaga baranya, sementara ia membuat sambalnya. Akhirnya ia boleh menghidangkan ikan bakar keinginan itu ke hadapan dua orang Duta Besar, iaitu ayah Eliana, Duta Besar Indonesia untuk Mesir dan kawannya Duta Besar Indonesia untuk Turki. Dua Duta Besar itu duduk di tempat terpisah dari staf KBRI yang lain. Mereka memang ingin bernostalgia berdua saja. Di hadapan mereka ada satu mangkuk berisi nasi panas yang masih mengepulkan asap. Pinggan berisi ikan bakar. Dua piring kecil berisi sambal. Dua piring agak besar berisi ulam ulaman. Lalu dua bekas berisi air untuk mencuci tangan. Dan dua piring besar yang masih kosong. Azzam mempersilakan keduanya untuk menikmati hidangan itu.

"Terima kasih ya", kata Pak Alam, ayah Eliana pada Azzam. Azzam tersenyum dan mengangguk dengan ramah sambil sekali lagi mempersilakan untuk menjamu. Lalu ia meminta diri.

"Hidangan ikan bakar ini untuk mengingatkan masa masa kita belajar di Jogja dulu. Meskipun kita berada di Alexandaria, tapi ini saya siapkan ikan bakar seperti yang kita rasakan di Parangtritis dulu". kata Pak Alam.

"Wah, sungguh tidak rugi aku berkunjung ke Mesir menjenguk teman lama. Sungguh, aku merasa sangat terhormat menerima kejutan ini", sahut Pak Juneidi dengan senyuman yang lebar.

"Ayuh, terus saja Pak Jun. Mencium baunya sudah tidak sabar rasanya perut ini. Ayuh kita makan guna tangan saja rasanya lebih nikmat", kata Pak Alam sambil mengambil satu pinggan yang kosong dan mengisinya dengan nasi. Lalu ia mencuci tangan kanannya ke dalam mangkuk berisi air dan jeruk nipis.

"Ya, benar Pak Alam. Makan dengan tangan memang lebih nikmat", balas Pak Juneidi seraya melakukan hal yang sama.

Dua Duta Besar itu terus asyik bernostalgia sambil menikmati ikan bakar buatan Azzam. Dari jauh Azzam melihat dengan mata puas. Ia duduk melihat sekeliling. Di sisi yang lain tidak jauh dari dua Duta Besar itu staf KBRI sedang berpesta bersama beberapa orang mahasiswa dan rombongan Penari Saman yang didatangkan dari Aceh. Eliana duduk berbincang bincang dengan seseorang yang sangat ia kenal. Orang yang berbincang dengan Eliana adalah Furqan. Teman satu pesawat ketika datang ke Mesir dulu. Ada sedikit api memercik dalam dadanya, namun ia redam segera. Ia merasa tidak kena pada tempatnya ia merasa cemburu. Eliana itu siapa? Bukan siapa siapa dengannya.

Melihat Furqan yang selalu dalam posisi begitu terhormat, Azzam tidak boleh membohongi dirinya sendiri. Bahawa ada rasa iri hati. Iri hati ingin jadi seperti dia. Rasa itu begitu halus masuk ke dalam hatinya. Dulu, ia dan Furqan satu pesawat. Lalu selama setahun satu rumah. Tahun pertama di Mesir ia naik tingkat dengan nilai lebih baik dari anak ahli koperat Jakarta itu. Bahkan Furqan sering bertanyakan padanya tentang kosa bahasa Arab yang musykil ketika membaca buku nota. Tapi kini, teman lamanya itu sudah hampir selesai M.A.nya di Cario University. Dan ia sendiri B.A.nya saja masih belum lulus lulus, apalagi M.A.. Furqan lebih dikenali sebagai intelektual muda yang sering diminta menjadi pembicara di pelbagai kelompok kajian, sedangkan dirinya lebih dikenali sebagai penjual tempe, pembuat bakso dan tukang masak serba boleh, namun tidak juga lulus ujian.

Azzam menghela nafas dalam dalam. Lalu ia berdiri mencari cari Pak Ali. Ia memandang ke kanan dan ke kiri. Mengalihkan pandangannya ke segala arah. Namun tiada juga ia temukan Pak Ali. Ia sendirian. Hendak bergabung dengan staf KBRI itu, rasa kekok. Mereka sudah memulai acara dua puluh minit yang lalu. Ia memutuskan untuk menikmati kesendiriannya itu. Untung tadi ia sempat mengambil sepinggan nasi dan seekor ikan untuk dirasai . Dan sambil duduk Azzam mula menyantap ikan bakar itu. Perutnya sudah tersangat lapar. Ia makan dengan lahap bersendirian, sambil menatap bulan dan bintang bintang. Tiba tiba ia teringat ibu dan ketiga tiga adiknya di Indonesia.


"Mereka pasti sedang tidur nyenyak di sana . Ibu mungkin sedang berdoa dalam solat malamnya." Lirihnya pada diri sendiri sambil membayangkan wajah ibunya dalam balutan telekung putih dengan mata berkaca kaca. Ada keharuan yang tiba tiba menyusup begitu saja ke dalam dadanya.

Kalaulah ia mahu berfikiran jujur, maka impiannya yang paling tulus adalah segera pulang ke tanah air bertemu dengan ibu dan adik beradiknya. Tidak ada impian yang lebih kuat dalam jiwanya melebihi daripada itu. Namun akal sihatnya selalu menahan agar impiannya itu tidak sampai meledak dan melemahkannya.

Adalah wajar bagi seseorang yang sudah bertahun tahun tidak bertemu keluarganya dan mengharap agar bertemu keluarganya. Namun jika dengan sedikit kesabaran, pertemuan itu akan menjadi lebih bermakna, kenapa tidak bersabar sedikit. Ia boleh saja mengusahakan pulang. Tetapi kuliahnya belum selesai dan adik adiknya masih memerlukan dirinya untuk bekerja keras. Ia tidak ingin menyerah pada kerinduan yang menjadi penghalang kejayaan. Ia ingin adik adiknya berjaya, dirinya berjaya. Semuanya berjaya. Gambaran masa depan jelas. Baru ia akan pulang.

"Mas Khairul, pulang jom!"

Suara tiu mengejukannya. Ia memandang ke arah suara tersebut. Pak Ali telah berdiri di samping kanannya.

"Dari mana Pak Ali? Saya cari cari dari tadi."

"Aduh Mas, perutku sakit. Aku dari tandas, Jom kita pulang ke hotel ya. Nampaknya aku harus segera istirehat ni."

"Lha, Pak Ali tidak menunggu Pak Dubes. Nanti kalau Pak Dubes cari bagaimana? Habis tu, kalau saya pulang, siapa yang akan membersihkan barang barang ini?"

"Tenang. Aku sudah tidak ada tugas malam ini. Pak Dubes nanti, biar dipandu oleh Pak Amrun. Barang barang itu pula biar diurus oleh kak Eliana. Aku sudah berbicara dengan kak Eliana. Katanya kita pulang tak apa apa. Apalagi sebahagian mereka mahu berjaga sampai pagi. Termasuk Pak Dubes dan kawannya dari Turki."

"Baiklah, kalau begitu. Saya juga sudah letih. Terus kita pulang naik apa Pak Ali?"

"Senang saja. Yang penting kalau sama Pak Ali beres deh. Kita pulang naik teksi, biar aku yang bayar."

"Ya, sudah kalau begitu. Ayuh."

Dua orang itu bergegas ke luar ke jalan lalu meluncur ke hotel dengan teksi. D alam perjalanan ke hotel, Azzam lebih bayak diam. Ia hanya berbicara jika Pak Ali bertanya. Azzam masih terbayang bayang wajah ibu dan adik adiknya.

"Kalau boleh tahu, berapa umurmu Mas Khairul?"

"Dua puluh lapab, Pak."

"Kalau aku perhatikan, gurat wajahmu lebih tua sedikit dari umurmu. Nampaknya kau memikul sebuah beban yang sangat berat. Aku perhatikan kau lebih banyak berkerja daripada belajar di Mesir ini. Boleh aku tahu tentang hal ini?"

"Ah Pak Ali terlalu perhatikan saya. Saya memang perlu berkerja keras Pak. Bagi saya ini bukan beban. Saya tidak merasakannya sebagai satu bebanan. Meskipun orang lain mungkin melihatnya sebagai satu beban. Saya memang perlu berkerja untuk menyara adik adik saya di Indonesia. Ayah saya meninggal dunia ketika saya baru setahun kuliah di Mesir. S aya punya tiga orang adik beradik. S emuanya perempuan. Saya tidak ingin pulang dan meninggalkan kuliah di tengah jalan. Maka satu satunya jalan adalah saya harus berkerja keras di sini. Jadi itulah kenapa saya sampai menjual tempe, jual bakso dan membuka perkhidmatan catering."

Pak Ali mengangguk angguk sambil meraba raba letak cermin matanya sambil mendengar pertuturan Azzam. Ada rasa kagum yang hadir begitu sahaja di dalam hatinya. Anak muda yang kelihatannya tidak begitu berprestasi itu sesungguhnya memiliki prestasi yang jarang dimiliki anak muda seusianya.

"Aku sama sekali tak menyangka kau membiayai adik adikmu di Indonesia. Aku sangat kagum dan hormat padamu nak. Sesungguh ketika banyak mahasiswa yang sangat manja dan bergantung kepada kiriman daripada orang tua. Kau justeru sebaliknya. Terus berkerja keras Mas, aku yakin engkau kelak akan meraih kejayaan dan kegemilangan. Teruslah berkerja keras nak, setahu saya yang membezakan orang yang berjaya adalah kerja keras. Dan nanti kalau kau sudah berjaya, jagalah kejayaan itu. Setahu saya, dari membaca biografi orang orang yang berjaya, ternyata hal yang paling berat tentang kejayaan adalah menjaga diri yang telah berjaya agar tetap maju."

"Terima kasih Pak Ali. Tapi saya minta Pak Ali tidak menceritakan apa yang saya ceritakan tadi kepada orang lain. Saya tidak mahu itu jadi consume banyak orang. Biarlah masyarakat Indonesia di Cairo tahunya saya adalah mahasiswa Al-Azhar yang tidak lulus lulus kerana lebih suka bisnes tempe, bakso dan catering. Itu bagi saya sudah cukup membuat bahagia. Janji Pak ya?"

"Ya, saya janji."

Tak terasa teksi sudah sampai di depan hotel. Azzam turun. Pak Ali membayar tambang teksi lalu menyusul turun.

"Perutnya masih sakit Pak?"

"Ya. Masih terasa. Aku rasa aku harus segera ke toilet. Oh ya nak Khairul, kau terus ingin istirehat?"

"Ya Pak, saya merasa letih sangat."

"Baiklah. Oh ya, bagaimana kalau besuk habis solat Subuh kita sembang sembang sambil jalan jalan di sepanjang pantai. Semoga sakit perutku sudah sembuh.

"Wah! dengan senang hati pak."

"Kalau begitu nanti kalau kau mahu solat Subuh aku call ya. Kita sembahyang Subuh di masjid bersama. Dari masjid kita terus jalan jalan. Aku akan memberimu cerita yang indah. Kau pasti senang mendengarnya."

"Baik Pak. Pergi dulu, assalamu'alaikum", kata Azzam.

"Wa'alaikumussalam. Sampai ketemu besok", jawab Pak Ali.

Azzam bergegas menuju lif, sementara Pak Ali menuju toilet. Hotel itu masih ramai. Beberapa orang masih asyik berbicara di lobby hotel. Dua orang lelaki kulit putih nampak sedang serius berbicara dengan orang Arab berjubah putih. Dan caranya memakai kopiah nampaknya ia orang teluk. Lourantos Restauran yang terletak tidak jauh dari lobby juga ramai dengan pengunjung.

Sampai di bilik, Azzam terus merebahkan badannya. Ia tinggal menunggu mata terpejam. Telefon di biliknya berdering. Ia sangat tidak menginginkan telefon itu. Ia paksakan untuk bangkit dan mengangkatnya. Dari Eliana.

"Hei Mas Insinyur, kok sudah pulang sih?" Suara dari gagang telefon.

"Ya, diajak Pak Ali yang sakit perut. Saya juga sudah letih."

"Seharusnya kalau mahu pulang beritahu pada saya. Terima kasih ya, ikan bakarnya sedap. Pak Juneidi puas sangat. Oh ya, sebenarnya aku mahu memberi hadiah istimewa. Tapi Mas Insinyur sudah pulang sih?"

"Hadiahnya apa?"

"Mahu tahu?"

"Ya."

"Ciuman istimewa daripadaku."

"Apa? Ciuman istimewa?"

"Yes."

"Ciuman istemewa Mbak Eliana itu ciuman yang bagaimana?"

"French kiss, ciuman khas Perancis."

"Mbak mahu menghadiahkan aku ciuman khas Perancis? Ah yang benar saja?"

"Benar. Sungguh! Tapi Mas Khairul sudah pulang sih. Jadi sorry ye."

"Ah Mbak jangan menggoda orang miskin dong."

"Saya tidak menggoda, serius. Saya sungguh sungguh mahu memberi Mas Khairul ciuman itu, tadi sayang abang sudah pulang."

"Alhamdulillah. Untung saya terburu buru pulang."

"Lho kok, malah merasa untung."

"Ya. soalnya jika dapat ciuman khas Perancis dari Mbak, bagi saya bukanlah jadi hadiah, tapi jadi musibah!"

"Jadi musibah?"

"Ya."

"Serius!? Tidak berguraukan?"

"Serius! sangat serius."

"Boleh dijelaskan kenapa jadi musibah?"

"Penjelasannya panjang, besok saja! yang jelas perlu Mbak ingat baik baik, saya bukan orang putih! sudah saya harus istirehat. Maaf!"

Klik!

Azzam memutuskan pembicaraan dan meletakkan gagang telefon sambil mendesis kesal.

"Dasar perempuan didikan Perancis tidak tahu adab kesopanan. Sudah tahu aku ini mahasiswa Al-Azhar mahu disamakan dengan orang putih saja! Gila mungkin!"

Telefon di biliknya berdering lagi. I a biarkan saja. Tidak ia sentuh sama sekali. Ia yakin itu telefon daripada Eliana yang mungkin sedang emosi atau melayan perasaan. Telefon itu berdering dering sampai mati. Azzam mengambil wudhu'. Membaca doa. Memperlahankan air-cond. Dan siap untuk tidur. Telefon di kamarnya kembali berdering. Ia sedang membaca ayat Kursi. Sama sekali ia tidak berganjak dari tempat tidurnya. Telefon itu terus berdering sampai akhirnya mati sendiri. Ia tidak perlu mengangkatnya, sekiranya umur masih panjang, besok akan bertemu lagi dan berbicara panjang lebar kenapa hadiah ciuman itu baginya adalah musibah.

Sementara di El Muntazah, Eliana nampak gusar dan geram. Berani beraninya pemuda itu memutus pembicaraan begitu saja. Dan berani beraninya ia memandang sebelah mata terhadap dirinya. Fikirnya. Baru kali ini ia tidak dianggap bahkan diremehkan oleh seorang pemuda. Yang membuatnya geram kali ini, yang meremehkannya justeru orang yang sama sekali tidak diperhitungkannya.

"Dasar pemuda kampung kolot! Pemuda konservatif! Pemuda bahlul bin tolol! Awas nanti ya? Geramnya.

Orang orang yang memperhatikan tingkah laku Eliana itu jadi tertanya tanya. Ada apa dengan Puteri Pak Duta Besar itu? Siapa pemuda yang dikatakan kolot itu? Siapa pemuda yang diumpatnya itu?


***

Selesai membaca Ayat Kursi, Azzam tidak boleh tidur langsung. Ia merasa ada yang salah hari ini. Yang salah itu adalah rasa tertariknya pada anak Pak Dubes dan harapannya yang tidak tidak padanya. Setelah sembilan tahun, baru kali ini hatinya tertarik pada seorang gadis.

Dulu waktu di pesantren, waktu di Madrasah Aliyah, ia pernah merasa suka pada seorang siswi yang di matanya sangat mempesona. Namanya Salwa. Selain wajahnya yang menurutnya bagai bidadari, suaranya sangat merdu. Siswi dari Pati itu menjuarai MTQ (Musabaqah Tilawah Al-Qur'an) peringkat Jawa Tengah. Namun ia hanya boleh memendam rasa sukanya itu di dalam hati. Sebab ia tahu Salwa sudah dipinang oleh putera sulung Pengasuh Pesantren, Gus Mifdhal. Setelah itu ia tidak mahu membuka hatinya lagi.

Yang ia hairan, entah kenapa ketika mendengar prestasi prestasi Puteri Pak Dubes itu hatinya merasakan sesuatu yang lain. Ia mengkagumi gadis itu. Dan ketika melihat wajahnya, ia semakin kagum. Lalu ketika ia baru sedikit dekat saja sudah merasakan apa yang dulu ia rasakan terhadap Salwa. Ia harus mengakui ia jatuh cinta pada Eliana dan berharap yang tidak tidak. Ia sendiri hairan kenapa?

Padahal ini bukan kali pertama ia bertemu dengan gadis cantik. Ia sering membantu bapak bapak pejabat KBRI dan sering bertemu dengan anak gadis mereka yang sebenarnya tidak kalah jelitanya. Tapi ia merasa biasa biasa saja. bahkan ia pernah pergi umrah dan membimbing jemaah dari Jakarta. Di antara jemaah itu ada seorang foto model yang masih kuliah di Jakarta. Namanya Vera. Foto model cantik itu kelihatan tertarik padanya. Sebab setelah Vera kembali ke Jakarta, ia sering menelefon dirinya dan mengirimkan bungkusan. Namun ia sama sekali tidak tertarik padanya. Kini Vera sudah jadi bintang filem. Dan ia juga tidak minta sedikit pun untuk sekadar menyapanya. Ia sama sekali tidak tertarik dengan foto model itu kerana gaya hidupnya yang ia anggap tidak seiring dengan jiwanya. Dan cara berpakaiannya yang menurutnya kurang sopan meskipun sudah berulang kali mengerjakan umrah dan naik haji. Dalam hati ia berkata dengan tegas.

"Cantik ya. Tapi kalau tidak boleh menjaga aurat, tidak memiliki rasa malu, tidak memakai tudung, tidak mencintai cara hidup yang agama, bererti bukan gadis yang aku idamkan!"

Standard dia untuk calon isteri, minimanya adalah Salwa. Dan standard itu tidak pernah ia turunkan. Tapi entah kenapa, saat bertemu Eliana yang cara berpakaian dan cara hidupnya, menurutnya, tidak berbeza demgan Vera, hatinya akan luluh. Kenapa ia menurunkan standard yang telah bertahun tahun ia jaga. Bahawa calon isterinya, minimanya adalah perempuan yang bertudung litup, boleh membaca Al-Qur'an dan pernah mengecapi kehidupan pesantren.

Dan betapa menyesal dirinya begitu menurunkan standard, ternyata yang ia dapatkan adalah kehinaan. Akal sihatnya menggiringinya untuk kecewa pada Eliana. Kecewa kerana ia merasa sudah dapat meraba cara hidup Eliana. Ia tidak boleh membayangkan bagaimana kehidupan Puteri Pak Dubes itu ketika kuliah di Perancis. Sudah berapa ramai lelaki orang putih dan bukan orang putih yang berciuman bibir dengannya. Dan is ditawari untuk jadi lelaki ke sekian yang berciuman dengannya. Ini jelas bertentangan dengan apa yang ia jaga selama ini. Iaitu kesucian. Kesucian jasad, kesucian jiwa, kesucian hati, kesucian niat, kesucian fikiran, kesucian hidup dan kesucian mati.

Entah kenapa tiba tiba ia merasa berdosa. Ia merasa berdosa dan jijik pada dirinya sendiri yang begitu rapuh, mudah terpedaya oleh penampilan luar yang menipu. Ia jijik pada dirinya sendiri yang ia rasa terlalu cair pada lawan jenis yang belum halal baginya. Ia hairan sendiri kenapa jati dirinya seolah pudar saat berhadapan atau berdekatan dengan Eliana. Apakah telah sedemikian lemah imannya sehingga kecantikan jasadi telah sedemikian mudah menyihir dirinya. Ia beristighfar dalam hatinya. Berkali kali ia meminta ampun pada Dzat yang menguasai hatinya.

Azzam meratapi kesilapannya dan memarahi dirinya sendiri. Dalam hati ia bersumpah akan lebih menjaga diri, dan hal yang menistakan seperti itu tidak boleh terjadi lagi. Ia juga bersumpah untuk segera menemukan orang yang tidak kalah hebatnya dengan Eliana, tapi bertudung litup, solehah, boleh berbahasa Arab dan berbahasa Inggeris dengan fasih. Kalau terpaksa gadis itu harus orang Mesir tak mengapa. Yang jelas rasa terhinanya harus ia sirnakan.

Ia harus menemukan kembali kehormatannya sebagai seorang Azzam yang memiliki harga diri. Meskipun masyarakat Indonesia di Mesir mengenalinya hanya sebagai tukang masak atau penjual tempe, tapi harga diri dan kesucian diri tidak boleh diremehkan oleh sesiapapun juga. Ia yakin akan mendapat isteri yang lebih jelita dari Eliana, dan lebih baik darinya. Ia yakin. Itu tekadnya. Ia ulang ulang tekad itu ke dalam tidurnya. Ke dalam mimpinya. Dan ke dalam alam bawah sedarnya.

***

Thursday, February 4, 2010

KETIKA CINTA BERTASBIH - (1) Senja Bertasbih di Alexandaria


Ermmm dah lame aku tak tepek post rupanye (saje je buat2 lupe.. hehehee). Bersesuaian dgn bln Februari yg diagung2kan oleh pasangan mudamudi... rasa akulah inilah masanya... molek benar aku sajikan bola mate korang dgn nukilan Pak Habiburrahman yang sarat dgn cinta. Moga2 hati kita yg macam nak terkatup tu... bisa terbuka seluasnya...

DI MATANYA
, Kota Alexandria petang itu nampak begitu mempesona. Cahaya mataharinya yang kuning keemasan seolah olah menyepuh atap atap rumah, gedung gedung, menara menara, dan kenderaan kenderaan yang lalu lalang di atas jalan. Terpancar cahaya kuning yang terpantul dari riak gelombang di pantai menciptakan aura ketenangan dan kedamaian.


Di atas pasir pantai yang putih anak anak masih leka bermain kejar kejaran. Ada juga yang bermain rumah rumah dari pasir. Di tangan anak anak itu pasir pasir putih nampak seumpama butiran butiran emas yang lembut berkilauan diterpa oleh sinar matahari senja.

Di beberapa tempat, di sepanjang pantai, pasangan muda mudi nampak bercengkerama mesra. Di antara mereka masih ada yang membawa buku buku tebal di tangan. Menandakan mereka baru saja datang dari kampus dan belum sempat pulang ke rumah. Suasana senja di pantai rupanya lebih menarik bagi mereka daripada suasana senja di rumah. Bercengkerama dengan pujaan hati rupanya lebih mereka pilih daripada bercengkerama dengan keluarga, ayah, ibu, adik dan kakak di rumah.

Di mana mana muda mudi yang sedang jatuh cinta adalah sama. Senja menjadi waktu istimewa bagi mereka. Waktu untuk bertemu, saling memandang, duduk berdampingan dan bercerita yang indah indah. Saat itu yang ada dalam hati dan fikiran mereka adalah pesona sang kekasih yang dicintai. Tidak terlintas sedikit pun bahawa senja yang indah yang mereka lalui itu akan menjadi saksi sejarah bagi mereka kelak. Ya, kelak ketika masa muda mereka harus dipertanggungjawabkan di hadapan Sang Pencipta Cinta. Dan jatuh cinta mereka pun harus dipertanggungjawabkan kepadaNya. Di hadapan pengadilan Dzat Yang Maha Adil, yang tidak ada sedikit pun kezaliman dan ketidakadilan di sana.

Di matanya, Kota Alexandria petang itu nampak begitu indah. Ia memandang ke arah pantai. Ombaknya berbuih putih. Bergelombang naik turun. Berkejar kejaran menampakkan keriangan yang sangat menawan. Tiupan agin mengalirkan kesejukan. Suara desaunya benar benar terasa seumpama dasau suara zikir alam yang menciptakan suasana tenteram.

Dari tingkap biliknya yang terletak di tingkat lima Hotel Al-Haram, ia menyaksikan sihir itu. Di matanya, Alexandria petang itu telah membuatnya seolah olah tidak lagi berada di dunia. Namun di sebuah alam yang hanya di penuhi keindahan dan kedamaian saja.

Sesungguhnya bukan semata mata cuaca dan suasana menjelang musim bunga yang membuat Alexandria senja itu begitu mempesona. Bukan semata mata sinar matahari senja yang membuatkan Alexandria begitu menakjubkan. Bukan semata mata pasir putihnya yang membuat Alexandria begitu menawan. Akan lebih dari itu, yang membuat segala yang dipandangnya nampak menakjubkan adalah kerana bunga sedang bertandang di hatinya. Matahari kebahagiaan sedang bersinar terang di sana. Bunga bunga kasturi sedang menebarkan wanginya. Lagu lagu cinta mengalun di dalam hatinya, memperdengarkan irama terindahnya. Dan penyebab itu semua, tidak lain dan tidak bukan adalah seorang gadis sastera, yang di matanya memiliki kecantikan bunga mawar putih yang sedang merekah. Gadis yang di matanya seumpama permata safir yang paling indah.

Gadis itu adalah kilauan matahari di musim bunga. Sosok yang sedang menjadi buah mulut di kalangan mahasiswa dan masyarakat Indonesia di Mesir. Gadis yang pesonanya dikagumi ramai orang. Dikagumi bukan hanya kerana kecantikan fizikalnua, tetapi juga kerana kecerdasan dan kejayaan kejayaan yang telah diraihnya. Lebih dari itu, gadis itu adalah puteri orang nombor satu bagi masyarakat Indonesia di Mesir.

Dialah Eliana Pramesthi Alam. Puteri satu satunya Bapak Duta Besar Republik Indonesia di Mesir. Hampir genap satu tahun gadis itu tinggal di Mesir. Selain untuk menemani kedua orang tuanya, keberadaannya di Negara Piramid itu untuk melanjutkan M.A.nya di American University in Cario (AUC).

Belum begitu lama menghirup udara Mesir, gadis yang memiliki suara jernih itu terus menunjukkan bakatnya. Sekaligus, ia terus menjadi pusat perhatian. Sebab baru satu bulan di Cairo, tulisan cadangannya dalam bahasa Inggeris sudah dimuatkan di surat khabar Ahram Gazette.

Pandangannya menyoroti peran Liga Arab yang mandul dalam memperjuangkan martabat anggota anggotanya. Liga Arab yang tidak mempunyai kekuatan untuk berhadapan dengan Israel dan sekutunya. Liga Arab yang hanya boleh bersuara, tapi tidak boleh berbuat apa apa. Tulisannya rapi, jelas, berkarakter, tajam dan kuat datanya. Orang dengan pengetahuan memadai, akan menilai tulisannya merupakan perpaduan pandangan seorang jurnalis, sasterawan dan diplomat yang unggul.

Kerana pandangannya itulah, ia terus diminta menjadi bintang tetamu di Nile TV. Di layar Nile TV ia berdebat dengan Sekjen Liga Arab. Hampir seluruh masyarakat Indonesia di Mesir menyaksikan siaran langsung istimewa itu. Baru kali ini ada anak Indonesia berbicara di sebuah forum yangtidak sembarangan orang diundang. Sejak itulah Eliana menjadi bintang yang bersinar di langit cakerawala Mesir, terutama di kalangan mahasiswa Indonesia.

Terhitung, gadis yang menyelesaikan B.A.nya di EHESS Perancis itu sudah tiga kali tampil di layar televisyen Mesir. Sekali di Nile TV. Dua kli di Channel 2. Wajahnya yang tidak kalah pesonanya dengan diva pop dari Lebanon, Nawal Zoughbi, dianggap layak tampil di layar kaca. Selain kerana ia memang puteri seorang duta besar yang cerdas dan fasih berbahasa Inggeris dan Perancis.

Eliana, Puteri Pak Dubes itulah yang membuatnya berada di Alexandria dan tidur di Hotel berbintang lima selama satu minggu ini. Meskipun ia sudah berulang kali ke Alexandria, namum keberadaannya di Alexandria kali ini, ia rasakan sangat begitu istimewa. Ia tidak boleh menggingkari dirinya adalah manuasia biasa, bukan malaikat. Ia tidak boleh menafikan dirinya adalah pemuda biasa yang boleh berbunga bunga kerana merasa dekat dan dianggap penting oleh seorang gadis cantik dan terhormat seperti Eliana. Gadis yang membuat matahari kebahagiaan sedang bersinar terang di hatinya.

Awalnya adalah Kedutaan Besar Republik Indonesia (KBRI) yang mengadakan acara 'Minggu Promosi Pelancongan dan Budaya Indonesia di Alexandria.' Beberapa acara persembahan kebudayaan berlangsung di Auditorium Alexandria University selama satu minggu. Selama itu juga ada promosi masakan dan makanan khas Indonesia. Sementara itu pula, ia selama ini dikenali sebagai mahasiswa paling mahir memasak. Dan ia digajikan oleh KBRI untuk membuka gerai Nasi Timlo Solo. Mulanya ia menolak. Sebab, dengan begitu ia harus meninggalkan bisnesnya membuat tempe selama seminggu. Ia risau pelanggannya kecewa. Namun puteri Dubes itu terus mendesak dan memohon kesediannya. Akhirnya dia mengalah dan bersedia.

Sejak itulah hatinya berbunga bunga. Sebab sebelum berangkat ke Alexandria ia sering ditelefon Eliana. Dan waktu di Alexandria hampir setiap hari Eliana datang ke gerainya untuk mengawasi, melihat lihat, atau hanya sekadar untuk mengajaknya berbicara apa saja.

"Aku kagum lho ada mahasiswa yang berdikari seperti Mas Insinyur." Puji Eliana. hatinya tersanjung sangat luar biasa.

Bagaimana tidak, gadis jelita itu seolah olah bagai menghormatinya. Ia dipanggil dengan panggilan "'Mas Insinyur' , bukan terus memanggil namanya, atau dengan kata ganti ' kamu' atau 'anda'. Orang orang memang biasa memanggilnya 'Mas Khairul' namanya Khairul Azzam atau 'Mas Insinyur' ia dikenali dengan 'Insinyur'nya kerana dia seorang yang paling pandai memasak di kalangan mahasiswa Indonesia di Cairo. Entah kenapa, mendengar pujian dari Eliana itu, ia merasakan kebahagiaan dengan nuansa yang sangat lain. Kebahagiaan yang belum pernah ia rasakan sebelumnya.

Ia tersenyum sendiri. Kedua matanya memandang ke arah pantai. Dua orang muda mudi Mesir berjalan mesra menyusuri pantai Cleopatra yang berada tepat di depan hotel.

Ia tersenyum sendiri. Entah kenapa tiba tiba berkelibat dalam fikiran, andai yang berjalan itu adalah dirinya dan Eliana. Alangkah bahagianya.

Astaghfirullah! ia beristigfar.

Ia merasakan apa yang berkelibat dalam fikirannya itu sudah tidak dianggap benar.

Ia mengalihkan pandangannya jauh ke tengah laut Mediteranian. Nun jauh di sana ia melihat ada tiga buah kapal yang nampak kecil dan hitam. Kapal kapal itu ada yang sedang menuju ke Alexandaria, ada juga yang sedang meninggalkan Alexandaria. Sejak dulu lagi Alexandaria memang terkenal sebagai kota pelabuhan yang penting di kawasan Mediteranian. Pelabuhan Alexandaria saat ini ada di kanan dan kiri kawasan Ras El Tin dan kawasan El Anfusi. Dua kawasan itu terletak di Semenanjung Alexandaria lama. Di hujung semenanjung itu berdiri dua buah benteng bersejarah, iaitu Benteng Qaitbai dan Benteng El Atta.

Dari tingkap biliknya ia boleh melihat benteng Qaitbai itu di kejauhan. Kedua matanya kembali mengamati tiga buah kapal yang letaknya berjauhan satu sama lain. Ia halakan pandangan ke kiri dan kanan. Laut itu terlihat begitu luas dan kapal itu begitu kecil. Padahal di dalam kapal itu mungkin ada ratusan manusia. Ia jadi berfikir, alangkah kecilnya manusia. Dan alangkah Maha Penyayangnya Tuhan yang menjinakkan lautan sedemikian luas supaya tenang dilalui kapal kapal berisi manusia. Padahal, mungkin sekali di antara manusia yang berada di dalam kapal itu terdapat manusia manusia yang sangat derhaka kepada Tuhan. Walaupun begitu, Tuhan masih sahaja menunjukkan rasa kasih sayangNya. Ia jinakkan lautan, yang jika Ia berkehendak, Ia boleh menitahkan ombak untuk tenggelamkan kapal itu dan bahkan meluluhlantakkan seluruh isi Kota Alexandaria. Ia teringat firman Nya yang indah :

Tidakkah engkau memperhatikan bahawa sesungguhnya kapal itu berlayar di lautan dengan ni'mat Allah, agar diperlihatkan Nya kepadanya sebahagian dari tanda tanda kebesaranNya. Sungguh pada yang demikian itu terdapat tanda tanda kebesaranNya bagi setiap orang yang sangat sabar lagi banyak bersyukur. (Luqman: 31)

Ia terus memandang ke laut Mediteranian. Laut telah menjadi saksi sejarah atas terjadinya peristiwa peristiwa besar yang menggetarkan dunia. Perang besar yang berkobar kerana memperebutkan cinta Ratu Cleopatra terjadi di laut itu. Pertemuan bersejarah yang diabadikan dalam Al-Qur'an antara Nabi Musa dan Nabi Khidir, konon, juga terjadi di salah satu pantai laut Mediteranian itu.

"Laut yang indah, penuh nilai sejarah," lirihnya pada dirinya sendiri. "Akankah aku juga akan mencatatkan sejarahku di pantai laut ini?" Ia berkata begitu kerana malam nanti ada jadual makan malam bersama seluruh staf KBRI di pantai El Muntazah. Ia yakin akan bertemu lagi dengan Eliana di sana.

Matahari terus berjalan mendekati peraduannya. Sinarnya yang kuning keemasan kini mulai bersulam kemerahan. Ombak datang silih berganti seolah olah menyapa dan menciumi pasir pasir pantai yang putih nan bersih terasa damai dan indah. Menyaksikan fenomena alam yang dasyat itu Azzam bertasbih, "Subhanallah. Maha Suci Allah yang telah menciptakan alam seindah ini."

Ya, alam bertasbih dengan keindahannya. Alam bertasbih dengan keteraturannya. Alam bertasbih dengan pesonanya. Segala keindahan, keterlaluan dan pesona alam bertasbih, menjelaskan keagungan Sang Pencipta. Bertasbih, menyucikan Tuhan dari sifat kekurangan. Keindahan senja petang itu menjelaskan kepada siapa saja yang menyaksikan bahawa Tuhan yang menciptakan senja yang luar biasa indah adalah Tuhan Yang Maha Kuasa, Yang Maha Sempurna ilmuNya.

Siang, malam, senja, dan pagi bertasbih. Matahari, udara, laut, ombak dan pasir bertasbih. Semua benda yang ada di alam semesta ini bertasbih, menyucikan asma Allah. Semua telah tahu bagaimana cara melakukan solat dan tasbihnya. Dengan sinarnya, matahati bertasbih di peredarannya. Dengan hembusannya, udara bertasbih di alirannya. Dengan gelombangnya ombak bertasbih di jalannya. Semua telah tahu bagaimana cara menunjukkan tidak ada Tuhan selain Allah Yang Maha Kuasa.

Keteraturan alam semesta, langit yang membentang tanpa tiang, pergantian siang dan malam, lautan luas membentang, gunung gunung yang menjulang, awan yang membawa air hujan, air yang menumbuhkan tanam tanaman, proses penciptaan manusia sembilan bulan di dalam rahim, bintang bintang yang menjaga ekosistem dan peraturan peraturan lainnya, itu semua menunjukkan bahawa ada Dzat Yang Maha Kuasa dan Maha Sempurna. Dzat yang kekuasaanNya tidak ada batasnya. Dzat yang menciptakan itu semua. Dan Dzat itu adalah Tuhan Penguasa alam semesta. Dan jelas Tuhan itu hanya boleh satu adanya. Tidak mungkin dua, tiga dan seterusnya. Tidak mungkin!

Sebab, jika Tuhan itu lebih dari satu pastilah terjadi kerosakan di alam semesta ini. Sebab masing masing akan merasa Ia paling berkuasa. Masing masing akan memaksakan keinginanNya . Mereka akan berselisih faham. Misalnya yang satu menghendaki matahari terbit dari Timur, sementara yang satu menghendaki matahari terbit dari Barat. Terjadilah perseteruan. Dan rosaklah alam.

Ternyata matahari terbit dari Timur dan tenggelam di Barat, dengan sangat teraturnya. Matahari tidak pernah terlambat terbit. Matahari juga tidak pernah bermain main, berlari lari ke sana ke mari di langit seperti anak kecil bermain bola atau main sorok sorok. Ia beredar di jalan yang ditetapkan Tuhan untuknya. Dan selalu tenggelam di ufuk Barat tepat pada waktunya. Peraturan ini menunjukkan, Tuhan Yang Menciptakan alam semesta ini adalah satu, iaitu Allah 'Azza wa Jalla, Tuhan Yang Maha Kuasa.

Tuhan yang menciptakan alam semesta ini, yang tidak terbatas kekuasanNya itu memang tidak mungkin berjumlah lebih dari satu. Sebab seandainya Tuhan lebih daripada satu, lalu mereka sepakat menciptakan matahari misalnya. Maka mungkin ada dua kemungkinan di sana. Pertama, Tuhan yang satu menciptakan, sementara tuhan yang lain berpangku tangan. Tidak berbuat apa apa. Dengan begitu, akan bererti bahawa Tuhan yang tidak berbuat apa apa itu tidaklah Tuhan yang berkuasa. Sia sia saja ia jadi Tuhan. Sebab, pada saat matahari diciptakan, Ia tidak berkerjasama untuk menciptakannya. Ia menganggur. Sama seperti makhluk yang menganggur. Jadi ia bukan Tuhan dan tidak boleh disebut Tuhan.

Atau kemungkinan kedua, tuhan tuhan itu berkerjasama menciptakan matahari. Matahari diciptakan dengan saling kerjasama. Jika demikian, telah jelas mereka bukanlah Tuhan Yang Maha Kuasa. Sebab mereka lemah. Bagaimana tidak. Untuk menciptakan matahari sahaja mereka harus berkerjasama. Tidak boleh menciptakan sendiri. KekuasaanNya tidak mutlak. Yang terbatas kuasanya bererti lemah dan tidak layak disebut sebagai Tuhan.

Jika Tuhan itu lebih dari satu, kemungkinan terjadi pembahagian tugas. Ada yang bertugas mencipta matahari, ada yang bertugas mencipta bumi, ada yang bertugas mencipta langit dan seterusnya. Jika demikian, mereka bukan Tuhan Yang Maha Kuasa. Sebab pembahagian tugas menunjukkan kelemahan, menunjukkan ketidakmahakuasaan. Tuhan yang sebenarnya adalah Tuhan Yang menciptakan dan menguasai seru sekalian alam. Tuhan yang menciptakan alam semesta ini dengan kekuasaanNya yang sempurna. Tuhan yang ilmuNya meliputi segala sesuatu. Dan yang memiliki sifat Maha Sempurna seperti itu hanya ada satu, iaitu Allah. Dialah Tuhan yang sebenarnya. Sebab tidak ada yang mengiistiharkan diri sebagai pencipta alam semsta ini kecuali hanya Allah Subhanahu wa Ta'ala.

Seandainya pada keduanya (di langit dan bumi) ada tuhan tuhan selain Allah, tentu keduanya telah binasa. Maha Suci Allah yang memiliki 'Arasy dari apa yang mereka sifatkan. (Al-Anbiya': 22)

Pemuda bernama Khairul Azzam itu masih menatap ke arah laut. Matahari masih satu jengkal di atas laut. Sebentar lagi matahari itu akan tenggelam. Warna kuning keemasan bersepuh kemerahan yang terpancar dari bola matahari menampilkan pemandangan yang sangat indah. Ia jadi teringat sabda Nabi Shallallahu 'alaihi wasallam : "Sesungguhnya Allah itu indah dan mencintai keindahan."

"Subhanallah!"
Kembali ia bertasbih dalam hati.

Ia terus menikmati detik detik pergantian siang dan malam yang indah itu. Cahaya matahari seperti masuk ke dalam laut yang perlahan lahan menjadi gelap. Siang seolah olah masuk ke dalam perut malam. Matahari hilang tenggelam. Lalu perlahan bulan datang. Subhanallah.

Siapakah yang mengatur ini semua? Siapakah yang mampu memasukkan siang ke dalam perut malam? Seketika azan berkumandang menjawab pertanyaan itu dengan suara lantang : Allahu Akbar! Allahu Akhbar! (Allah Maha Besar! Allah Maha Besar!) Ya, hanya Allah Yang Maha Besar kekuasaanNyalah yang mampu memasukkan siang ke dalam perut malam. Dan memasukkan malam ke dalam perut siang.

Tidakkah engkau memperhatikan bahawa Allah memasukkan malam ke dalam siang dan memasukkan siang ke dalam malam dan Dia menundukkan matahari dan bulan, masing masing beredar sampai kepada waktu yang ditentukan. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan. (Luqman : 29)

Malam mulai membentangkan jubah hitamnya. Lampu lampu jalan bersinar terang. Alexandria memperlihatkan cahayanya yang lain. Sihir malamnya yang tak kalah indahnya. kelip kelip lampu kota yang mendapat julukan 'Sang Pengantin Laut Mediteranian' itu bagai tebaran intan berlian. Khairul Azzam menutup langsir tingkap biliknya. Ia bergegas untuk solat di masjid yang jaraknya tidak jauh dari hotelnya.

Saat tangannya menyentuh gagang pintu hendak keluar, telefon di biliknya berdering. Ia terdiam sesaat. ia menatap telefon yang sedang berdering itu sesaat dan terus membuka pintu lalu melangkah keluar. "Kalau dia benar benar berhajat, nanti pasti dia telefon lagi setelah solat. Apakah dia tidak tahu sekarang ini waktu solat," lirihnya menuju lif.

Ia membenarkan tindakannya itu dengan berfikir bahawa datangnya azan yang memanggilnya itu lebih dahulu dari datangnya deringan telefon itu. Dan ia harus mendahulukan yang datang lebih dahulu. Ia harus mengutamakan undangan yang datang lebih dahulu. Apalagi undangan yang datang lebih dahulu itu adalah undangan untuk meraih kebahagiaan akhirat.

Padahal kehidupan akhirat itu lebih baik dn lebih kekal. (Al-Ala : 17)


***

Saat pulang dari masjid, Azzam bertemu Eliana di depan pintu masuk lobby hotel. Melihat Azzam wajah Eliana nampak riang.

"Hei, ke mana saja? Aku sudah mencari Mas Khairul ke mana mana? Sudah dua puluh tujuh kali aku menelefon ke bilik Mas Khairul! Ada hal penting! Mari kita bicara di lobby saja!" Eliana berleter tanpa memberi kesempatan untuknya menjawab. Gadis berperanakan tubuh indah itu berbalut t-shirt lengan panjang ketat berwarna merah muda dan berseluar jeans putih ketat. Balutan khas gadis gadis bangsawan Eropah itu membuatnya nampak langsing, padat, dan berisi. Perfumenya menebarkan aroma bunga bungaan segar dan sedikit aroma epal. Wajahnya yang putih dengan mata bulat jernih memancarkan pesona yang mampu menghangatkan aliran darah setiap pemuda yang menatapnya.

Azzam masih berdiri di tempatnya. Entah kenapa setelah ia tercium perfume yang dipakai Puteri Pak Dubes itu, ia merasakan nafasnya dedikit sesak, jantungnya berdegup lebih kencang, dan ada sesuatu yang tiba tiba datang begitu saja mengaliri tubuhnya. "Nape diam saja, mari Mas, kita bicarakan di lobby! Ini penting!" Eliana kembali mengajak Azzam masuk ke lobby hotel. Azzam tergagap. Ia mengangguk. Dan mahu tidak mahu Azzam mengikutinya. Sebab ia berada di Alexandaria kerana kontrak kerja dengannya.

"Mbak Eliana sudah solat?" tanya Azzam perlahan. Ia cuba menguasai dirinya, yang sesaat sempat bergoncang. Ia memanggilnya 'Mbak', meskipun ia tahu Eliana lebih muda tiga tahun dari dirinya. Tak lain, ini adalah kerana rasa hormatnya pada gadis itu sebagai Puteri pak Duta Besar.

"Ah solat itu senang! Yang penting ini. Ada tugas penting untuk Mas Khairul malam ini. Tugas terakhir. Aku janji!" sahut Eliana berleter tanpa rasa dosa kerana mengambil mudah akan mengerjakan solat.

"Tu.... tugas?"

"Ya."

"Untuk saya!?"

"Ya. Untuk siapa lagi kalau bukan untuk Mas Khairul?"

"Tugas dari siapa?"

"Ya dariku."

"Dari Mbak?"

"Ya."

Azzam menghirup nafas. Detak jantungnya sudah normal. Ia sudah menguasai dirinya sepenuhnya. Dengan memik serius ia berkata :

"Sebentar Mbak, bukankah tugas saya sudah selesai petang tadi Mbak? Dengan berakhirnya acara Minggu Promosi Pelancongan petang tadi bererti tugas sayakan sudah selesai. Dalam kesepakatan yang kita buat, saya bertugas membuat dan menjaga Nasi Timlo Solo selama enam hari. Dari jam sepuluh pagi sampai jam empat petang. Menunggu gerai enam jam setiap hari. Bererti tugas saya sudah selesai. Jika ada tugas lagi, ini jelas di luar kesepakatan. Jelas saya tidak boleh menerimanya Mbak, maaf! Apa hubungannya Mbak dengan saya sehingga dengan senang hatinya Mbak memberi tugas kepada saya!? Apa saya ini orang bawahan Mbak1? Maaf saya tidak boleh Mbak!"

Meskipun ia di kalangan mahasiswa Cairo dikenali sebagai penjual tempe, ia tidak mahu diperlakukan dengan sesuka hati. Ia sangat sensitif terhadap hal hal yang terasa melecehkan harga dirinya. Memberi perintah seenaknya kepadanya adalah satu bentuk dari penjajahan ke atas harga dirinya. Azzam adalah orang yang sangat menghargai kemerdekaannya sebagai manusia yang hanya menghambakan diri kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala.

Eliana yang pernah sekian tahun tinggal di Perancis agaknya terus menyedari kesilapannya. Ia terburu buru membetulkan ucapannya dan meminta maaf.

"Maafkan aku Mas Khairul. Mas benar. Sebenarnya dengan kesepakatan perjanjian kita, tugas Mas sudah selesai. Tetapi ini ada masalah penting yang sedang aku hadapi. Dan aku rasa yang boleh membantu adalah Mas. Baiklah, ini di luar perjanjian. Ini antara aku dan Mas sebagai sahabat. Ya sebagai sahabat yang harus saling tolong menolong. Saling bantu membantu.

"Begini, majlis makan malam nanti pukul lapan di Pantai El Muntazh. Aku sudah memesan menunya melalui Omar Khayyam Restaurant. Masalahnya, dalam acara makan malam nanti secara mengejutkan kita kedatangan Bapak Duta Besar Indonesia untuk Turki yang datang siang tadi. Beliau teman sekuliah ayahku di FISIPOL UGM dulu. Ayah ingin menyediakan menu istimewa untuknya. Menu yang mengingatkan akan kenangan masa lalu. Menu itu adalah nasi panas dengan lauk ikan bakar disambal pedas khas Jogja. Ayah dulu sering makan menu itu bersama beliau di Pantai Parangtritis. Sebelum Maghrib tadi, ayah memintaku untuk menyiapkan menu ini. Aku pusing tujuh keliling. Yang jelas aku sudah menyuruh Pak Ali, pemandu KBRI itu untuk mencari ikan yang segar. Ikan apa saja, yang penting sesuai dibakar. Pak Ali membeli enam kilo, sekarang sudah ada di dalam peti sejuk di biliknya. Dan aku datang menemui Mas untuk meminta tolong menyiapkan ikan bakar itu. Mas Insinyur, tolong ya? Please ya?" Kata Eliana dengan nada kasihan.

Azzam diam sahaja. Sesaat lamanya dia diam tidak menjawab apa apa.

"Sungguh Mas, tolong aku ya. Please tolonglah. Aku janji, nanti aku akan berikan hadiah istimewa buat Mas. Please tolong aku. ini masalah kredibilitiku di hadapan ayahku. Kalau menguruskan ikan bakar saja aku tidak boleh, beliau akan susah mempercayai kredibilitiku mengelolakan sesuatu yang lebih penting. Tolong aku, Mas please. Aku tahu ini waktunya sangat singkat. Tapi aku yakin abang boleh lakukannya. Tolonglah ya?"

Eliana meminta dengan nada kasihan sambil menangkupkan kedua tangannya di depan hidungnya. Gadis itu benar benar meminta belas kasihan di hadapan Azzam. Melihat wajiah kasihan di hadapannya, Azzam luluh. Sosok yang sangat tersinggung jika harga dirinya direndahkan itu adalah juga sosok yang paling mudah tersentuh hatinya.

"Baiklah, saya akan bantu setakat yang saya mampu. Tapi sebelum membantu Mbak Eliana, saya ingin hak saya atas apa yang sudah saya kerjakan selama enam hari di sini dibayar", jawab Azzam tenang.

"Sekarang?"

"Ya, sekarang."

"Apa Mas Khairul tidak percaya padaku?"

"Siapa yang tidak percaya? Saya hanya menuntut hak saya."

"Baiklah." Eliana mengeluarkan dompet dari poket seluar jeansnya. Lalu mengeluarkan lembaran dollar kepada Azzam.

"Ini tiga ratus dollar. Seperti kesepakatan kita satu harinya lima puluh dollar."

"Terima kasih." Azzam menerina wang itu sambil tersenyum.

"Nanti resitnya menyusul kemudian ya."

" Nah, sekarang boleh bantu saya?"

"Baiklah, sekarang masalah bantu membantu, Bukan bisnes. Saya ingin ikhlas membantu, jadi saya tidak akan mengharapkan apapun dari Mbak."

"Tapi, tadi aku sudah beritahu akan memberi hadiah istimewa."

"Itu tak penting. Kerana waktunya sudah singkat, yang paling penting saat ini adalah mencari perencah untuk ikan bakar itu dan untuk sambalnya. Perencah yang masih tersisa dari Nasi Timlo tidak mencukupi. Di tempat saya juga sudah tidak ada cili satu biji pun", jawab Azzam.

"Kalau begitu sekarang juga kita berangkat mencari apa yang Mas perlukan. Sebentar, aku panggil Pak Ali dulu, ia lebih faham selok belok Alexandaria", sahut Eliana bersemangat. Gadis itu terus menghubungi Pak Ali dengan telefon tangannya.

"Kita diminta ke depan. kebetulan Pak Ali sudah ada di dalam kereta. Memang tadi saya berpesan akan pergi setelah solat Maghrib. Mari kita berangkat!" Kata Eliana setelah menelefon.

"Sebentar. Apa tidak sebaiknya Mbak solat Maghrib dahulu, kalau belum solat?"

"Aduh, solat lagi, solat lagi. Solat itu gampang!"

"Lho, jangan meremehkan solat Mbak. Kalau Mbak belum solat lagi, lebih baik Mbak solat saja. Biar saya dan Pak Ali sja yang berbelanja."

"Tidak, saya harus ikut. Tidak tenang rasanya kalau saya tidak ikut. Tentang solat yang Mas Khairul katakan itu tenang saja Mas. Aku memang sedang uzur. Kalau solat juga, tentu berdosa. Tahu sendirikan perempuan ada saat saat dia tidak boleh solat. Jom kita berangkat. Kita harus cepat, waktunya singkat!"

"Kalau begitu ayuh."

Azzam bangkit.

Mereka berdua berjalan tergesa gesa ke luar hotel. Tepat di depan pintu hotel, Pak Ali telah menunggu dengan kereta BMW hitam. Petugas hotel membukakan pintu kereta. Azzam duduk di depan, di sebelah Pak Ali dan Eliana duduk di bangku belakang. Eliana memberi arahan kepada Pak Ali agar membawa ke kedai menjual bahan perencah secepat mungkin. Pak Ali terus menekan minyak melintas di atas El Ghaish Street menuju ke arah pusat perbelanjaan di kawasan El Manshiya, Azzam menikmati perjalanan itu dengan hati nyaman dan bahagia. Meskipun sebenarnya ia sangat penat, namun rasa bahagia itu mampu mengatasi rasa penatnya. Entah kenapa ia merasa malam itu terasa begitu indah. Berjalan di sepanjang jalan utama Kota Alexandaria dengan kereta mewah bersama seorang Puteri Duta Besar yang berjiwa sastera. Ia merasakan kebahagiaan itu sempurna jika kereta BMW itu adalah miliknya, ia sendiri yang memandunya dan Eliana duduk di sebelahnya sebagai isterinya dengan busana Muslimah yang anggun mempersona.

"Hayo, Mas Insinyur melamun ya?" suara Eliana mengejutkan lamunannya.

"E... ti.. tidak! Saya hanya takjub dengan suasana malam kota ini. Dan saya bertanya bila boleh memiliki kereta semewah ini, dan memandunya bersama isteri di kota ini?" Jawab Azzam sedikit gugup.

"Wah, impian Mas Insinyur tinggi juga ya? Saya yakin jarang ada orang yang bermimpi seperti Mas. Anak muda Indonesia yang mempunyai impian memandu kereta BMW, saya rasa tidak banyak. Apa lagi yang bermimpi memandunya bersama isterinya di kota ini. Jangankan bermimpi seperti itu, BMW saja mungkin ada yang belum tahu apa itu dan ada yang belum pernah melihat bentuknya. Lha, bagaimana boleh bermimpi? Bahkan mungkin di antara anak muda Indonesia, terutama di daerah pedalaman masih ada yang beranggapan bahawa BMW sejenis basikal, seperti dengan BMX."

Azzam tersenyum mendengar pandangan Eliana. Pandangan yang baginya terasa memandang rendah anak muda Indonesia. Tapi, dulu waktu ia masih di Madrasah Aliyah dan mengadakan perkhemahan dakwah di hujung tenggara Wonogiri, ia bertemu dengan jenis anak anak remaja dan anak muda yang masih sangat terbelakang cara pemikirannya. Mereka hanya merasa cukup dengan hanya lulus sekolah rendah saja. Bahkan banyak yang tidak lulus sekolah rendah. Mereka lebih suka mencari kayu bakar di hutan. Atau menggembala kambing di hutan. Mimpi mereka adalah bagaimana dapat kayu bakar yang banyak. Atau kambing mereka cepat beranak pinak. Itulam mimpi anak anak muda yang ada di pedalaman daratan Pulau Jawa. Ia bayangkan bagaimana dengan yang berada di tengah hutan Kalimantan dan Papua? Meeka yang berfikiran untuk memakai baju yang cantik saja belum termampu. Untuk menjamah mereka saja harus menempuh perjalanan yang sangat sukar. Ia terus membandingkan mereka dengan anak muda seperti Eliana yang sudah selesai kuliah di Perancis di usia yang masih belia. Pernah merasakan tidur di hotel paling mewah di Eropah. Pernah berdebat dengan Setiausaha Agung Liga Arab dengan berbahasa Inggeris yang fasih. Alangkah jauh bezanya.

"Ya, yang kau katakan mungkin ada benarnya. Memang tidak banyak dari mereka memiliki impian yang tinggi", komennya ringan. Dalam hati Azzam menambah: "Apalagi yang bermimpi boleh menyunting Puteri Dubes yang sekular seperti dirimu dan boleh menjadikannya Muslimah yang baik, pastilah sangat sangat sedikit jumlahnya."

"Kerana pemudanya tidak banyak yang mempunyai impian tinggi dan besar itulah, maka Indonesia tidak maju maju. Apa yang kau impikan selama ini, Mas? Bukan yang tadi. Yang selama ini kau impikan?" tanya Eliana.

"Kira kira apa, cuba, kau boleh teka atau tidak?" sahut Azzam.

"Mmm.... mungkin mendirikan pesantren."

"Salah."

"Terus apa?"

"Jadi orang yang paling kaya di Pulau Jawa he... he... he..."

"Wow... gila! It's great dream man! takku duga Mas Khairul punya impian sebesar itu. Impian yang aku sendiri pun tidak menjangkaunya. Gila! Boleh.... boleh! Kali ini aku boleh salut pada Mas Khairul."

BMW itu terus menuju dengan tenang dan elegan. Beberapa minit kemudian kereta itu berhenti di depan kedai penjual bahan perencah di El Hurriya Street. Dengan cepat dan cermat Azzam membeli bahan perencah. Azzam tidak lupa mengajak ke kedai penjual sayur sayuran.

"Untung saya ingat, ikan bakar itu harus ada ulam ulamannya", kata Azzam pada Eliana. Ia bergegas masuk ke kedai penjual sayur mayur dan membeli timun, kobis dan tomato untuk dibuat ulam ulaman. Setelah itu mereka meluncur kembali ke hotel dengan perasaan lega. Dan yang paling lega tentu saja Eliana. Jika bahan bakar telah didapati, bahan perencah telah diperolehi dan tukang masak yang akan memasak boleh diharapkan, apakah tidak layak baginya untuk merasa lega.

Dalam perjalanan ke hotel, Pak Ali memilih menelusuri El Hurriya Street. Terus ke arah Timur Laut. Mereka melalui Konsulat Amerika Syarikat. Terus melaju tenang. Sampai di kawasan Ibrahimiya sebelum Sporting Club belok kiri. lLlu belok kanan melaju di El Amir Ibrahim Street. Di dalam kereta Azzam melihat tren elektrik yang penuh dengan penumpang. Kereta itu melaju ke arah El Manshiya. Gadis gadis Mesir kelihatan berdiri di dalam tren. Tangan kanan mereka menggenggam erat pegangan seperti gelang, sedangkan tangan kiri mereka memegang buku.

"Sepertinya gadis gadis itu baru pulang dari kampus ya." Eliana kembali membuka suara. Eliana seperti tahu apa yang diperhatikan Azzam.

"Ya." Pelan Azzam.

"Gadis Mesir itu cantik cantik ya. Langsing langsing."

"Ya."

"Tapi saya lihat kalau sudah jadi ibu ibu, kenapa mereka kelihatan gemuk gemuk sekali ya?"

"Ya. Setahu saya memang adat di Mesir, seseorang suami malu kalau isterinya tidak gemuk. Malu dianggap tidak boleh memberi makan dan tidak boleh mensejahterakan isterinya."

"Aneh. Apa kesejahteraan itu bererti gemuk?"

"Tidak juga. Ada juga kan orang merana, orang stress malah gemuk. Tapi masyarakat Mesir moden agaknya sudah mulai meninggalkan adat adat itu. Kita juga mudah menemui ibu ibu Mesir yang tetap langsing."

"Ngomong ngomong, apa Mas Insinyur punya impian menikah dengan gadis Mesir?"

"Menikah dengan gadis Mesir?" Spontan Azzam mengulang pertanyaan Eliana.

"Ya. Pernah terlintas dalam hati?"

"Pernah."

"Ada kenalan gadis Mesir?"

"Ada."

"Cantik."

"Pasti."

"Wow. Tak ku sangka. Mas Insinyur ternyata benar benar pemuda berselera tinggi. Eh, Mas, jujur ya, kalau gadis seperti diriku ini menurut mas cantik tidak?"

Muka Azzam memerah mendengar pertanyaan itu. Seandainya ada cahaya yang terang pasti perubahan wajahnya akan kelihatan. Namun keadaan malam menutupi perubahan wajahnya. Ia sama sekali tidak menyangka akan mendapat pertanyaan sepeti itu. Tiba tiba rasa tinggi hatinya muncul. Ia tidak mahu mengaku begitu saja kecantikan Puteri Duta Besar itu. Ia tidak mahu menyanjunginya sebagaimana orang orang ramai menyanjunginya.

"Kenapa diam Mas? Bagaimana Mas, orang seperti aku ini menurut Mas cantik atau tidak?" Eliana kembali mengulangi pertanyaannya.

"Cakap aja cantik! Begitu sekali memikirnya!" sahut Pak Ali sambil terus memandu kereta ke arah El Ghaish Street. Sebentar lagi mereka akan sampai.

"Jangan mempengaruhinya Pakcik. Biar dia jujur menilainya. cantik tidak?" Tanya Eliana buat ketiga kalinya.

"Tidak!" jawab Azzam sambil tersenyum. Azzam lalu memandang bulan purnama yang bersinar terang di atas laut. Purnama itu seolah olah tersenyum dan bertasbih bersama bintang bintang dan angin malam. Azzam tidak mahu tahu apa perasaan Eliana saat itu, yang penting dia merasa menang.

"Ah, kau tidak jujur tu Mas! Ayuh cakap jujur sajalah!" Protes Pak Ali dengan suara yang agak keras.

Azzam hanya tersenyum. Dan Diam, cukup dengan diam ia sudah menang. Dan Eliana pun diam. Ia belum menemukan kata kata yang tepat untuk berbicara. Maka memilih untuk diam. Sesaat lamanya Azzam dan Eliana saling diam. Kereta terus bergerak ke depan. Tak terasa mereka sudah sampai di halaman Hotel El Harum.